Kereta hilang kawalan jadi punca bas persiaran terbalik

Kereta hilang kawalan jadi punca bas persiaran terbalik

am@hmetro.com.my

Ipoh: Bas persiaran terbalik yang mencederakan 40 penumpang dan pemandu di KM 265 Lebuhraya Utara Selatan di sini, hari ini dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketika kejadian, kereta dipandu lelaki berumur 44 tahun itu berada di lorong kanan menghala selatan.

Katanya, bagaimanapun kereta itu hilang kawalan dan memasuki laluan bas yang berada di lorong kiri.

“Keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan melanggar bahagian sisi kanan belakang bas sebelum berpusing dan melanggar pula hadapan kanan bas sehingga bas itu hilang kawalan dan terbabas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan kejadian, 39 penumpang berumur sembilan hingga 80 tahun dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini dan Klinik Kesihatan Greentown untuk rawatan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163 atau tampil ke balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top