Kereta mewah milik bapa rosak teruk, terbabas lepas hilang kawalan

Kereta mewah milik bapa rosak teruk, terbabas lepas hilang kawalan

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Penuntut berusia 20 tahun terselamat selepas kereta dipandunya terbabas dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 1.3 Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang ( SILK), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 6 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu lelaki terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar batu pembahagi jalan dan terbabas ke kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, kereta milik bapa pemandu itu rosak di bahagian hadapan dan belakang.

“Bagaimanapun, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Naazron berkata, pemandu berkenaan dikenakan saman mengikut Kaedah 10, LN 166/59 kerana memandu secara cuai dan gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan.

Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah dan sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top