London: Kereta Formula Satu (F1) yang membawa Michael Schumacher meraih kemenangan Grand Prix (GP) pertamanya dijangka dijual pada harga melebihi £7 juta (RM5.46 juta).
Pemandu dari Jerman itu memandu jentera Benetton B192-05 untuk menang di GP Belgium pada 1992.
Kemenangan dalam keadaan hujan lebat di Spa-Francorchamps itu menandakan permulaan salah satu kerjaya paling dominan dalam sejarah F1.
Schumacher kemudiannya memenangi tujuh kejuaraan dunia dan mencatat 91 kemenangan perlumbaan, rekod yang kekal selama lebih sedekad.
Jentera Benetton tersebut dijangka dilelong pada harga melebihi £7.38 juta dalam acara Global Icons: Europe Online yang akan dibuka pada 23 Januari.
Yves Boitel dari Broad Arrow Auctions berkata: “Ini tidak dinafikan antara kereta paling terkenal dalam sejarah F1.
Ia bukan sahaja menandakan permulaan salah satu kerjaya F1 terhebat sepanjang zaman, malah menutup era kegemilangan kotak gear manual di peringkat tertinggi sukan permotoran.”
Schumacher, kini berusia 57 tahun, tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak mengalami kecederaan otak serius ketika bermain ski pada 2013.
Beliau terjatuh dan kepalanya terhantuk pada batu ketika merentas kawasan luar laluan ski (off-piste), mengalami kecederaan parah walaupun memakai topi keledar keselamatan.
Doktor menyatakan beliau berkemungkinan besar maut sekiranya tidak memakai kelengkapan keselamatan tersebut. Juara dunia itu kemudian diterbangkan ke Hospital Grenoble, di mana beliau menjalani dua pembedahan.
Bekas pemandu Ferrari dan Mercedes itu dikeluarkan daripada koma pada Jun 2014 dan dibenarkan pulang untuk menjalani proses pemulihan di kediamannya di Gland, Switzerland.
Insiden tragis itu berlaku hanya lebih setahun selepas beliau bersara daripada F1 pada 2012.
© New Straits Times Press (M) Bhd




