Kereta Porsche Selebriti & Usahawan Wanita Antara 101 Kenderaan Mewah Disita JPJ Dalam Ops Luxury

Kereta Porsche Selebriti & Usahawan Wanita Antara 101 Kenderaan Mewah Disita JPJ Dalam Ops Luxury

Sebuah kereta Porsche milik seorang selebriti dan usahawan wanita antara 101 kenderaan mewah yang telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang pelaksanaan Ops Luxury di seluruh negara bulan ini.

Memetik laporan BH Online, kenderaan itu disita di kawasan sekitar Lembah Klang setelah didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insuransnya telah tamat tempoh.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, menjelaskan bahawa Ops Luxury dilaksanakan untuk memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan mewah yang gagal mematuhi tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya.

ā€œDalam operasi itu, sebanyak 101 kenderaan mewah dikesan melakukan kesalahan. Ia termasuk jenis Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayman, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz.

ā€œAntara kesalahan dikenal pasti ialah LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah dan lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah.

ā€œSelain itu, nombor pendaftaran tidak sepadan dengan sistem, nombor pendaftaran palsu serta ā€˜trade plate’ tiruan,ā€ katanya pada sidang media di ibu pejabat JPJ Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Aedy Fadly turut memaklumkan bahawa operasi itu juga mendedahkan kemungkinan kewujudan kenderaan klon melalui ketidakpadanan nombor casis dan penggunaan nombor pendaftaran palsu.

ā€œPasukan JPJ sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas beberapa kenderaan disyaki ada kaitan dengan sindiket kenderaan klon.

ā€œMalah, kita tidak menolak kemungkinan kenderaan yang menggunakan ā€˜trade plate’ palsu juga terbabit,ā€ katanya.

Berhubung pemilik kenderaan terbabit, beliau mengesahkan bahawa terdapat dalam kalangan mereka yang merupakan individu ternama dan selebriti, namun identiti mereka tidak didedahkan kerana siasatan masih dijalankan.

ā€œKita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, tidak kira siapa pun mereka.

ā€œLagi dikenali, lagi besar tanggungjawab mereka untuk menunjukkan contoh kepada masyarakat.

ā€œAlasan seperti terlupa memperbaharui LKM, tidak boleh diterima. Kalau selepas disita, boleh pula segera bayar dan perbaharui… kenapa tidak dibuat lebih awal?ā€ katanya, merujuk kepada alasan yang sering diberikan oleh pemilik kenderaan hanya selepas ia disita.

Tambah beliau lagi, JPJ turut menerima laporan daripada orang awam mengenai kenderaan mewah yang masih beroperasi di jalan raya walaupun tanpa cukai jalan dan insurans yang sah.

ā€œOperasi ini dijalankan hasil risikan dan maklumat orang ramai. JPJ akan terus melaksanakan Ops Luxury secara berkala demi memastikan integriti sistem pengangkutan negara kekal terpelihara,ā€ katanya.

Menurut beliau, tindakan penyitaan melibatkan seluruh negara dengan bilangan tertinggi dicatatkan di Kuala Lumpur dan Selangor, masing-masing sebanyak 17 kenderaan.

Negeri-negeri lain yang turut terlibat ialah Pulau Pinang (14), Perak (11), Johor (10), Kedah (9), Pahang (5), Melaka (5), Negeri Sembilan (4), Kelantan (3), Terengganu (2), Sabah (2), Perlis (1) dan Sarawak (1).

ā€œKesemua kenderaan berkenaan kini disimpan di depoh JPJ dan akan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan berkaitan,ā€ katanya.

Beliau turut menggalakkan orang awam untuk menyalurkan aduan mengenai pelanggaran undang-undang lalu lintas melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau menerusi e-mel ke [emailĀ protected] dengan maklumat lengkap.

Sumber: BH Online
Foto sekadar hiasan, imej dijana oleh AI.

Scroll to Top