Kereta rosak kena 'sagat' dengan lori, polis terima 7 laporan

Kereta rosak kena 'sagat' dengan lori, polis terima 7 laporan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis menerima tujuh laporan berhubung insiden beberapa kereta yang dilanggar kenderaan berat dipercayai lori di tepi jalan berhampiran Stesen LRT Glenmarie dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 2.10 petang yang mana pemilik kenderaan meletakkan kenderaan di tepi jalan dan menggunakan khidmat LRT untuk ke tempat kerja.

“Siasatan mendapati pemilik sedar kereta mereka dilanggar kenderaan berat dipercayai lori semasa pulang dari kerja.

“Setakat jam 4 petang tadi, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Shah Alam menerima tujuh laporan polis berkaitan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Katanya, pegawai penyiasat kes sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (cctv) dari kawasan berhampiran bagi mengenalpasti kenderaan terlibat.

“Mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam,Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman yang memaparkan beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan mengalami kerosakan dipercayai dilanggar lori.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top