am@hmetro.com.my
Tumpat: Tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Kebakat, di sini hari ini dipercayai baru diambil dari sebuah pangkalan haram di kawasan sempadan dekat Sungai Golok.
Kemalangan yang berlaku pada 6.50 pagi itu mengorbankan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dipercayai tekong darat.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, kesemua warga Myanmar berusia antara 20 hingga 42 tahun itu dibawa lelaki berkenaan menaiki kereta Proton Perdana yang dipandunya.
Katanya, bagaimanapun pergerakan itu berjaya dihidu sebelum pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengekori kenderaan terbabit yang ketika itu menghala ke Kota Bharu.
“Kereta yang padat penumpang itu terbabas dalam cubaan melarikan diri, lalu melanggar longkang konkrit. Semuanya cedera, dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu, manakala pemandu meninggal dunia ketika rawatan.
“Kita percaya tujuh Pati itu ingin dibawa ke suatu tempat dengan menghala ke Kota Bharu selepas diambil dari pangkalan haram di sini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Khairi berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala tujuh Pati yang masih dirawat disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat atau menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Luqman Al-Hakim Awang di talian 097257222.
© New Straits Times Press (M) Bhd