am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sendiri di Jalan Adda 5, Taman Adda Heights di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian itu, kereta Perodua Myvi dinaiki tiga individu itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Izwan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 12.39 tengah malam.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kemalangan, didapati terdapat tiga mangsa dalam kenderaan berkenaan.
“Terdapat dua orang dewasa masing-masing lelaki berusia 24 tahun yang cedera dan wanita berusia 23 tahun parah. Mereka tersepit di bahagian hadapan kereta.
“Seorang kanak-kanak perempuan tidak tersepit, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, PKO bertindak menggunakan peralatan khas penyelamatan jalan raya (RTA) untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit.
“Kedua-dua mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, untuk rawatan lanjut.
“Mayat kanak-kanak perempuan itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang kemudian menamatkan operasi pada jam 2.24 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




