am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang wanita maut selepas terkena tiang besi yang dilanggar sebuah kereta terbabas ke ruang makan sebuah medan selera di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu membabitkan kereta dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun dan mangsa berusia 47 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kereta dipandunya memasuki ruang makan medan selera sebelum berpusing semula menghala keluar.
“Dalam masa sama, mangsa berlari ke arah kenderaan itu dipercayai untuk menghalang atau menghentikan kereta berkenaan.
“Bagaimanapun, kereta itu melanggar sebatang tiang besi menyebabkan tiang berkenaan tumbang dan mengenai kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.
Ketika ditanya mengenai sebab mangsa cuba menghalang atau menghentikan kereta berkenaan, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan.
“Perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata, pemandu kereta berkenaan ditahan dan semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Pemandu yang turut cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan serta pengambilan sampel dan sehingga kini masih menjalani rawatan di hospital.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun, didenda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid, di talian 019-4565502.
Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd
