Kereta terbakar, trafik sesak 5km di Jambatan Kedua Pulau Pinang

Kereta terbakar, trafik sesak 5km di Jambatan Kedua Pulau Pinang

am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Kebakaran kereta di Kilometer 18 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di sini, hari ini menyebabkan trafik sesak lebih lima kilometer.

Difahamkan, kereta Mercedes C200 itu terbakar di laluan menghala Batu Maung selepas terlanggar bateri yang ditinggalkan di tepi jalan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Mohd Firdaus Mohd Saad berkata, 12 anggota dibantu BBP Batu Kawan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 3.18 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati lelaki dan wanita berusia 20-an yang menaiki kereta berkenaan berjaya menyelamatkan diri.

“Pasukan mengambil masa selama 15 minit untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kereta berkenaan musnah 80 peratus, manakala kejadian menyebabkan kesesakan kira-kira lima kilometer arah Batu Kawan ke Batu Maung.

Kejadian turut tular di media sosial menerusi video rakaman orang awam memaparkan kepulan asap dari atas Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top