mdroji@bh.com.my
Kuching: Wanita yang memandu kereta yang terjunam ke dalam tasik di kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan, hari ini disahkan lemas.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Launtin yang mengesahkan perkara itu berkata, mangsa Nur Shareefah Lusia Abdullah, 50, meninggal dunia manakala anaknya Nur Badrina Saharidan, 17, yang turut berada dalam kenderaan itu selamat.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kerera dipandu mangsa dalam perjalanan dari Desa Ilmu menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Muara Tuang menggunakan jalan di dalam kawasan UNIMAS.
“Sebaik tiba di kawasan tasik berdekatan bulatan UNIMAS, kenderaan terbabit dipercayai berhenti seketika di tepi jalan di atas kawasan rumput namun selepas itu tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Pusat Kesihatan Prima UNIMAS pada 11.51 pagi ketika menerima rawatan.
“Jenazahnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat manakala anaknya, yang juga orang kurang upaya (OKU) tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.40 pagi.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam, namun wanita berusia 50 tahun tidak sedarkan diri manakala anaknya dalam keadaan selamat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd