redzuan.muharam@hmetro.com.my
Port Dickson: Sukar untuk Nurhidayah M.Arafa memadam kenangan dengan bapanya, M Arafa Saruddin yang sudah dijemput Ilahi, namun kerinduannya ‘terubat’ apabila bertemu lelaki persis bapanya, baru-baru ini.
Kisah itu mendapat perhatian selepas Nurhidayah, 23, berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di TikTok menunjukkan detik pertemuan tidak sengaja dengan lelaki berkenaan.
Berkongsi kisah sebenar, Nurhidayah yang bekerja sebagai koordinator acara di sebuah resort berkata, video itu dirakam ketika ditugaskan untuk menguruskan makan minum untuk acara sebuah keluarga pada Sabtu lalu.
“Pak cik itu adalah seorang daripada ahli keluarga berkenaan dan terserempak dengannya ketika dia lalu di depan saya untuk ambil minuman.
“Terkejut juga waktu itu kerana cara dia berjalan, berpakaian dan pakai jam 90 peratus sama macam abah, malah wajahnya pun ada iras abah.
“Saya tak sembang pun atau bertanya lebih, setakat jawab pertanyaannya mengenai kopi. Tapi jujurnya, diri memang sebak dan tahan daripada menangis kerana sedang bekerja,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut Nurhidayah, ia adalah kali pertama dia berjumpa dengan individu persis bapanya dan menganggap pertemuan berkenaan satu rezeki untuk mengubati kerinduannya.
“Abah meninggal dunia akibat sakit tua dan darah tinggi pada 16 Disember tahun lalu. Arwah abah pernah datang dalam mimpi dan kebetulan dua ke tiga hari sebelum jumpa pak cik itu pun saya mimpikan abah.
“Jadi, mungkin Allah SWT izinkan bertemu dengan pak cik itu kerana tahu saya sangat merindui abah dan perkongsian di TikTok pun sekadar nak luahkan perasaan, tapi tak sangka raih banyak tontonan.
“Tapi saya ada berhubung dengan anak pak cik berkenaan untuk minta maaf kerana kongsi video bapanya di TikTok, tapi dia okey kerana faham perasaan saya,” katanya yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik.
Di sebalik apa yang terjadi, Nurhidayah bersyukur kerana ramai mendoakan kesejahteraan bapanya di ruangan komen.
“Bila baca komen, baru saya tahu ramai senasib dan ada yang lagi sedih kisahnya kerana sudah lama tiada ayah.
“Jadi, saya harap perkongsian video itu dapat buka mata orang di luar sana untuk hargai, luangkan masa dengan ibu bapa selagi masih ada dan berbaik jika ada perselisihan faham supaya tak menyesal kemudian hari.
“Saya pun tak terlalu rapat dengan abah, tapi bersyukur kerana sempat luang masa denganny,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




