Kerja bawa Grab banyak bantu saya, lebih lumayan – Danny X-Factor

Kerja bawa Grab banyak bantu saya, lebih lumayan – Danny X-Factor

Penyanyi dan pelakon, Danny X- Factor mengakui tidak segan untuk menjadi pemandu e-hailing Grab yang telah menjadi penyelamatnya ketika mengharungi tempoh pandemik Covid-19.

Menurut laporan Harian Metro, Danny atau nama sebenarnya Mohd Kardanie Anwa berkata, dia menyifatkan pekerjaan tersebut adalah menyeronokkan dan meraih pendapatan lebih lumayan.

“Ada yang apabila masuk kereta bertanya, kau sudah tidak berlakon ke? Atau kau dah tiada tawaran dah ke?
“Itu adalah antara soalan yang membuatkan saya terasa. Apa salahnya kan? Janji dapat menyara keluarga saya pada ketika itu.
“Sebenarnya, saya bekerja pemandu e-hailing sejak 2017. Inilah juga kerja yang menyelamatkan saya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Malah, isteri saya yang bekerja sebagai pramugari tidak ‘terbang’, jadi gaji pun tiada.
“Di situlah, kerja sebagai pemandu e-hailing banyak membantu saya. Kalau diikutkan, pendapatannya lebih lumayan daripada kerjaya seni.
“Malah, saya juga menyusun pergerakan bagi melangsaikan bil yang perlu dibayar setiap bulan,” katanya yang pernah menganggotai ahli kumpulan X-Factor.

Penyanyi berusia 42 tahun itu berkata, jenis pekerjaan dilakukan tidak penting asalkan ia halal sekali gus dapat menyara ahli keluarga.

“Kenapa nak malu? Bukan saya buat kerja yang tidak halal, kan? Lagipun, kepada yang bercakap buruk tu, awak ke yang beri duit untuk bayar bil bulanan saya?” ujarnya.

Sementara itu, Danny memaklumkan dia kini lebih aktif melakukan kerja di balik tabir dan tidak akan berhenti berlakon sekiranya mempunyai tawaran sesuai untuk dijayakan.

“Saya kini lebih selesa bergerak belakang tabir dan membiarkan wajah-wajah baru untuk ke depan. Mungkin kerana itu juga sudah lama saya tidak dilihat di kaca televisyen.
“Namun, itu tidak bermakna saya tidak akan menerima sebarang tawaran berlakon. Insya-Allah kalau ada tawaran yang bersesuaian dan masa lapang saya akan terus berlakon,” kongsinya.

Sumber: Harian Metro (Zaara Talita) , Instagram Danie Anwa