Kerja fleksibel, mudah dapat duit: Danny X-Factor

Kerja fleksibel, mudah dapat duit: Danny X-Factor

Kuala Lumpur: Sudah sedekad pelakon dan penyanyi, Danny X-Factor memandu e-hailing tanpa rasa malu sebagai sumber pendapatan sampingannya.

Danny atau nama sebenarnya, Mohd Kardanie Anwa, 46, melihat e-hailing sebagai peluang kepada orang ramai khususnya profesional dan penggiat seni untuk bertahan dalam keadaan ekonomi mencabar.

Dia yang mula terbabit dalam perkhidmatan e-hailing sejak 2016 berkata, kerja e-hailing membolehkannya mengimbangi kehidupan keluarga dan kerjaya kerana tidak terikat jadual kerja majikan.

“Kerja bawa e-hailing ini fleksibel dan mudah dapat duit. Cuma bergantung kepada usaha kita sendiri. Kalau rajin adalah hasilnya.

“Saya juga anggap kerja ini sebagai terapi kerana bekerja dalam dunia produksi ada cabaran dan tekanan tersendiri,” katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata ini berkata, e-hailing membantu menampung keperluan keluarga ketika pendapatan industri hiburan tidak konsisten dan bayaran kerja sering tertangguh.

“Selepas kelahiran anak pada 2019, saya mula menjadikan e-hailing lebih serius sambil meletakkan sasaran harian untuk memenuhi keperluan keluarga.

“Malah, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, e-hailing khususnya penghantaran makanan menjadi sumber utama pendapatan keluarga kami apabila aktiviti seni terhenti.

“Di saat orang lain struggle semasa Covid-19, saya bersyukur masih boleh bawa balik RM300 hingga RM400 sehari sehingga keluarga kami dapat bertahan,” katanya.

Menurutnya, kerja e-hailing turut membuka peluang bertemu pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga asing selain membawa rezeki tidak disangka.

“Hari-hari kita jumpa orang berbeza termasuk pelancong luar jadi kita belajar banyak perkara.

“Kadang-kadang datang peluang lain apabila orang tengok kita, mereka panggil buat podcast, buat review.

“Paling tidak sangka, ada pelanggan baik hati menghadiahkan umrah untuk kami sekeluarga selepas melihat kesungguhan saya mencari rezeki,” katanya.

Danny berkata, dia juga tidak menyangka usahanya itu turut memberi inspirasi kepada rakan artis, pemandu e-hailing baharu dan orang sekeliling untuk tidak menyerah dalam mencari rezeki demi keluarga.

“Saya tak sangka orang jadikan saya contoh. Ada pemandu e-hailing datang cakap, ‘Abang Danny buat, saya pun rasa semangat’. Itu yang saya terharu,” katanya.

Ketika ini, Danny turut sibuk menjalani rakaman single terbaharu X-Factor yang dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri, namun tetap meneruskan e-hailing sebagai rutin harian.

Katanya, dia tekad akan terus melakukan kerja itu walaupun menerima tawaran lakonan atau nyanyian.

“Tawaran job itu memang ada, tetapi saya pilih projek tertentu dan tempoh singkat saja kerana mahu mengutamakan keluarga.

“Jadi, e-hailing tetap saya akan buat sebab ia beri fleksibiliti kepada saya mengurus keluarga terutama menghantar dan mengambil anak sekolah,” katanya.

Danny menegaskan persepsi malu terhadap e-hailing perlu diubah kerana pekerjaan itu lahir daripada usaha sendiri.

“Jangan malu kerja apa saja asalkan halal untuk keluarga. Dunia sekarang keras, kita kena usaha,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top