Kerja jam 9 hingga 5 lagi ‘rileks’ berbanding berlakon yang orang ingat glamor – Yusuf Bahrin

Kerja jam 9 hingga 5 lagi ‘rileks’ berbanding berlakon yang orang ingat glamor – Yusuf Bahrin

Pelakon Yusuf Bahrin berkongsi pandangannya mengenai realiti sebenar dunia lakonan yang menurutnya sering disalah anggap sebagai kerjaya yang glamor dan mewah.

Orang ingat berlakon glamor

Menerusi perkongsian di Threads, Yusuf berkata ramai hanya melihat sisi menarik seorang pelakon seperti muncul di televisyen, dikenali ramai dan berpeluang bertemu selebriti lain, sedangkan hakikat sebenar pekerjaan itu jauh lebih mencabar di sebalik tabir.

Menurutnya, apa yang dipaparkan kepada umum hanyalah sebahagian kecil daripada kehidupan seorang pelakon, manakala sebahagian besar lagi melibatkan pelbagai komitmen dan pengorbanan yang tidak diketahui ramai.

“Ramai ingat berlakon ni glamor. Jumpa artis, masuk TV, ramai kenal. Tapi apa yang orang nampak cuma 10 peratus je. Lagi 90 peratus tu berlaku belakang kamera,” katanya.

Dalam masa sama, Yusuf berpendapat pekerjaan yang mempunyai waktu kerja tetap atau ‘office hour’ sebenarnya lebih teratur berbanding kerjaya dalam industri hiburan.

Jelasnya, individu yang bekerja mengikut waktu pejabat lazimnya dapat pulang ke rumah pada waktu petang untuk meluangkan masa bersama keluarga serta berehat selepas waktu bekerja.

“Kerja 9-5 sebenarnya lagi rileks dalam banyak keadaan. Petang dah boleh balik rumah, makan dengan family, rehat,” ujarnya.

Perkongsian itu membuka mata ramai mengenai cabaran yang dihadapi anak seni, sekali gus membuktikan populariti dan kemasyhuran bukanlah gambaran sebenar kehidupan seorang pelakon yang perlu bekerja keras di belakang tabir.

Perkongsian Yusuf itu turut mendapat perhatian pelakon Beto Kusyairy yang bersetuju dengan pandangan berkenaan dan menjelaskan bahawa tugas seorang anak seni sebenarnya bermula jauh lebih awal sebelum penggambaran dijalankan.

Menurut Beto, pelakon perlu melalui pelbagai proses persediaan yang memerlukan komitmen tinggi bagi memastikan sesuatu watak dapat dibawakan dengan baik.

“Kerja kita ni bukan hanya bermula di set. Tuntutannya tinggi. Berminggu atau berbulan sebelum shoot dah kena buat segala persiapan segala segi untuk menjayakan tanggungjawab.
“Baca skrip berulang kali, discussion, research, menonton reference, acting workshop, fitness & training, ada yang nak kena tambah atau turunkan berat badan, rehearsals, wardrobe fitting, makeup test, camera test dan sebagainya,” kongsi Beto.

Artikel lain:Bukan sengaja bawa watak bersentuhan, Yusuf Bahrin buat demi cari rezeki halal

Terdahulu, bekas suami kepada penyanyi Zizi Kirana itu turut dikecam kerana melakonkan babak bersentuhan dan tidak menjaga batas ketika membawakan sebuah watak.

Menurutnya, perkara itu dibuat atas dasar kerja sahaja dan menegaskan orang ramai tiada hak untuk menghakimi dan mengakui tindakan itu tetap salah namun menyerahkan segalanya kepada tuhan.

Sumber: Threads yusuf_bahrin

Scroll to Top