Kerja pembinaan Putra Harmoni terhalang kerana pertikaian mahkamah

Kerja pembinaan Putra Harmoni terhalang kerana pertikaian mahkamah

am@hmetro.com.my

Subang Jaya: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan kerja pembinaan di kawasan Putra Harmoni masih belum dimulakan kerana terdapat pertikaian dan tindakan mahkamah membabitkan sebahagian penduduk.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, walaupun kerajaan sudah menyediakan dana serta menggerakkan jentera bagi melaksanakan kerja baik pulih dan pembinaan semula, proses itu terhalang kerana beberapa kes masih tertangguh di mahkamah.

“Untuk penduduk di Putra Harmoni, ada yang bertanya kenapa ada lagi kerja belum mula. Ini kerana ada penduduk yang tidak bersetuju dengan bantuan kerajaan dan ada juga membawa perkara ini ke mahkamah.

“Oleh itu, walaupun dana sudah kami sediakan dan jentera sudah digerakkan, kes yang masih berjalan di mahkamah menghalang kita daripada membantu,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Putra Heights di Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, kerajaan melantik Sime Darby di kawasan Putra Harmoni kerana syarikat itu adalah pemaju utama bagi Putra Heights.

“Mengapa Sime Darby? Kerana mereka ada pelan bangunan, pelan induk, spesifikasi dan semua dokumen yang diperlukan. Sebab itu kerja boleh dipercepatkan dan dipermudahkan,” katanya.

Beliau turut menggesa penduduk yang masih berbeza pendapat supaya bersikap lebih bertolak ansur demi mempercepatkan proses pemulihan.

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Kerajaan MADANI datang dengan niat suci untuk membantu. Sebab itu saya berharap pihak berkaitan dapat mengambil sikap tolak ansur,” katanya.

Dalam masa sama, beliau meluahkan rasa syukur apabila sebahagian penduduk akhirnya menerima rumah baharu melalui usaha kerajaan dan sumbangan pelbagai pihak menerusi Tabung Bencana Perumahan Negara.

“Saya datang hari ini dengan penuh kesyukuran. Jika bukan kerana Kerajaan MADANI dan semangat muafakat, saya tidak rasa penduduk yang terkesan akan dapat kunci rumah baharu. Mereka mungkin masih menyewa dan menanggung penderitaan.

“Dengan muafakat dan keazaman untuk membantu, kita berjaya mengumpul dana dan menubuhkan Tabung Bencana Perumahan Negara untuk membantu penduduk.

“Jika dahulu, sekiranya berlaku banjir, kebakaran atau banjir, Pejabat Tanah hanya menyerahkan RM5,000 hingga RM10,000 sebagai pemberian secara ‘one-off’.

“Untuk masalah lain, penduduk akan menanggung sendiri kos berkenaan. Tetapi dengan Kerajaan MADANI, buat pertama kalinya kita beri sewa selama dua tahun, bantuan wang tunai, rumah yang rosak kita ganti semula,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top