Kerja pembinaan SUKE dihentikan untuk siasatan – Awang

KUALA LUMPUR – Aktiviti kerja pembinaaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Persiaran Alam Damai di sini dihentikan serta merta.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, ia bagi memberi laluan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menjalankan siasatan seterusnya  mengenalpasti punca kemalangan yang berlaku hari ini.

Dalam masa yang sama, JKKP juga akan mengenalpasti sama ada wujud pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Ujarnya, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menetapkan kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam di tempat kerja di bawah kawalannya.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Awang, Pembinaan (Pengurusan) 2017 ataupun OSHCIM juga mahu setiap pihak berkepentingan dalam industri pembinaan termasuk klien, pereka bentuk dan kontraktor memainkan peranan masing-masing di tempat kerja seawal daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan.

Terdahulu, Awang mewakili pihak kementerian mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kes kemalangan melibatkan struktur kren yang jatuh menghempap kereta di tapak Projek SUKE, Pakej CA3 pagi tadi.

Dalam kejadian terbabit, seorang pemandu warga tempatan mengalami kecederaan parah apabila besi kren menghempap kereta beliau.

Manakala, tiga  orang pekerja pembinaan projek itu meninggal dunia.- MalaysiaGazette