am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Hajat seorang peniaga untuk mendapatkan kerja sambilan secara dalam talian tidak kesampaian, malah lebih malang wang miliknya berjumlah lebih setengah juta ringgit pula lesap.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 38 tahun adalah peniaga buah-buahan serta barangan runcit di sebuah pasar dan juga peniaga lembu.
Menurutnya, pada 14 Mei lalu, mangsa menerima pesanan daripada kenalan Facebook yang menawarkan kerja sambilan dengan tawaran pendapatan lumayan.
Katanya, mangsa yang berminat dengan iklan itu kemudiannya diterangkan oleh rakan Facebook itu mengenai kerja yang perlu dibuat.
“Mangsa perlu membuat pembelian pelbagai barangan kononnya melalui satu aplikasi ternama yang dimuat naik melalui pautan yang diberikan.
“Selepas bersetuju, mangsa diberikan satu pautan untuk memuat naik aplikasi pembelian ternama itu seperti yang diarahkan,” katanya.
Beliau berkata, kemudian mangsa kononnya menerima arahan daripada khidmat pelanggan untuk melaksanakan tugasan.
Menurutnya, pada mulanya, mangsa membuat kerja diarahkan dan menerima pulangan seperti dijanjikan.
Bagaimanapun, untuk tugasan berikutnya, mangsa tidak menerima keuntungan dijanjikan dan mangsa diarahkan menyelesaikan beberapa tugasan terlebih dahulu sebelum menerima komisen.
“Walaupun sudah menyelesaikan beberapa tugasan yang diberikan, mangsa masih tidak diberikan komisen itu.
“Mangsa yang curiga dan syaki dirinya sudah ditipu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM500,639 kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada 2.29 petang semalam,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan miliknya, kad kredit dan juga pinjaman daripada kenalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd