Kerjasama BYD, Power Up permudah pemilik EV di kediaman bertingkat

Kerjasama BYD, Power Up permudah pemilik EV di kediaman bertingkat

lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: BYD Sime Motors, pengedar rasmi kenderaan elektrik (EV) BYD di Malaysia, mengumumkan kerjasama strategik dengan Power Up bagi memperkenalkan pakej pengecasan mudah alih, khusus buat pemilik EV yang tinggal di kediaman bertingkat seperti apartmen dan kondominium.

Pengarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham berkata, inisiatif itu selari dengan komitmen syarikat untuk membangunkan ekosistem EV yang lebih menyeluruh dan mesra pengguna.

“Inovasi EV bukan sekadar menawarkan kenderaan, tetapi membina rangkaian sokongan yang memudahkan pengguna dan ia termasuk model mampu milik, pelan pembayaran fleksibel serta pengecasan mudah alih pertama dalam industri, bagi memenuhi keperluan mobiliti generasi baharu rakyat Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao.

Kerjasama dengan Power Up ini membolehkan pengguna kenderaan BYD membuat pengecasan melalui pengecas mudah alih di kenderaan yang disediakan Power Up di mana-mana lokasi.

Pemilik kenderaan hanya perlu menghubungi pasukan Power Up untuk membuat tempahan.

Sebagai langkah memperkukuh jenama di pasaran tempatan, BYD juga menyasarkan untuk meningkatkan sehingga 60 bilik pameran menjelang 2026, berbanding 35 ruang yang beroperasi ketika ini.

Pada majlis sama, BYD turut melancarkan model SUV kompak EV terbaharunya, BYD Atto 2, yang dilengkapi bateri Blade 51.13kWh dengan jarak pemanduan sehingga 410 kilometer (km), tork 290Nm serta keupayaan pecutan dari 0 ke 100km/h dalam masa 7.9 saat.

BYD Atto 2 ditawarkan pada harga anggaran RM100,000 (atas jalan tanpa insurans) dan hadir dengan tiga pilihan warna iaitu putih, hijau dan kelabu.

Sebagai nilai tambah, 800 pembeli terawal bakal menikmati pakej Sime Platinum 4+ bernilai RM13,500, yang merangkumi langganan 12 bulan servis pengecasan mudah alih (empat kali sebulan), cucian kereta dua kali sebulan serta perkhidmatan menunda kenderaan sebagai satu penyelesaian praktikal buat pemilik EV di kediaman bertingkat yang terhad akses ke fasiliti pengecasan.

Selain itu, pembeli awal juga menikmati keistimewaan pembayaran ansuran bulanan dikecualikan selama enam bulan pertama sebagai sebahagian daripada tawaran pengenalan model baharu ini.

Sejak kemasukan BYD ke pasaran Malaysia, Atto 2 adalah model keenam yang diperkenalkan selepas pelancaran Atto 3 (2022), Dolphin (2023) serta Seal, M6 dan Sealion pada 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top