norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus berusaha memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi utama penggambaran antarabangsa melalui integrasi industri kreatif dan pelancongan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, menerusi Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) yang diperkenalkan sejak 2013 dan berterusan sehingga tahun lalu menjadi pemangkin utama pertumbuhan industri.
“Sekarang ini Malaysia sudah menjadi satu hab perfileman dari sudut untuk program realiti, drama dan filem kepada penggiat antarabangsa datang ke sini sekali gus kita (FINAS) dapat membawa masuk pelaburan daripada pihak asing.
“Sebenarnya salah satu statistik yang kita dapati atau boleh diuar-uarkan adalah melalui inisiatif rebat FINAS melalui FIMI di mana kita sudah berjaya menarik pelaburan kira-kira lebih RM2 bilion daripada syarikat antarabangsa yang menjalani penggambaran dalam Malaysia.
“Tetapi, yang membuatkannya satu signifikan ialah anggaran kesan limpahan ekonomi melebihi RM8 bilion merangkumi penginapan hotel, perkhidmatan, makanan dan pelancongan.
“Jadi, kejayaan dicapai (kira-kira RM8 bilion lebihan ekonomi) dalam tempoh 13 tahun ini turut dipacu secara kerjasama langsung daripada bantuan perkhidmatan pihak Pelancongan Malaysia juga,” katanya.
Terdahulu, Azmir ditemui media selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Pelancongan Malaysia yang diwakili Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim di FINAS Hulu Kelang, di sini hari ini.
Menurut Azmir, kolaborasi bersama itu juga bersifat ‘menang-menang’ dalam usaha menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dengan menggunakan platform media seperti filem dan drama untuk memaparkan keindahan negara kepada pelancong luar serta domestik.
Katanya lagi, data diperoleh juga sahih kerana setiap projek antarabangsa dan tempatan di bawah FIMI wajib diaudit firma bertauliah bagi membuktikan pelaburan sebanyak RM2 bilion itu dibawa masuk selepas kerajaan membayar rebat tunai kira-kira RM500 juta.
“Kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) juga meluluskan peruntukan berjumlah RM300 juta bagi tempoh lima tahun akan datang khusus untuk program rebat tunai di bawah FINAS.
“Melalui peruntukan itu, kita menyasarkan pelaburan baharu sebanyak RM1 bilion dalam tempoh lima tahun menerusi hasil setiap produksi, artis dan kru antarabangsa yang datang akan berbelanja di sini, dan memberi impak berganda kepada ekonomi setempat menerusi kuasa beli mereka,” katanya.
Bagi Pelancongan Malaysia pula, mereka berhasrat membantu FINAS menjadikan destinasi menarik di tanah air untuk lokasi penggambaran filem dan drama tempatan sebagai produk pelancongan baharu, mencontohi kejayaan negara seperti Korea Selatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



