Kerjasama ILP dan tahfiz lahir lebih ramai huffaz TVET

KEPALA BATAS – Kementerian Sumber Manusia yakin kerjasama antara Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan pusat tahfiz, akan dapat melahirkan lebih ramai huffaz yang mempunyai kemahiran Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal (TVET).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, program Tahfiz-TVET yang diilhamkan pada 2019 itu juga, membantu pelajar tahfiz untuk memperolehi Persijilan Kemahiran Malaysia yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

“Saya harap dengan adanya Tahfiz-TVET ini juga, dapat membentuk asas pekerja mahir dan ia antara kunci kemajuan negara pada masa depan yang akan memasuki Revolusi Perindustrian ke 4 (IR 4.0),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tahfiz-TVET kerjasama ILP Kepala Batas dengan Madrasah Al Aminiah cawangan Bertam, di sini hari ini.

Menerusi program itu, seramai 25 pelajar Madrasah Al-Aminiah cawangan Bertam mengikuti kursus Teknologi Elektrik selama dua tahun, bermula pertengahan bulan ini.

Mengulas mengenai program itu, katanya, semua pelajar berkenaan telah diperkenalkan dengan program asas pendawaian yang dijalankan selama seminggu, bagi memperkenalkan konsep asas pendawaian serta memupuk minat mereka dalam bidang teknikal.

Beliau berkata, semua pelajar itu akan mendapat akses latihan kemahiran secara separuh masa pendawaian elektrik satu fasa, dan mereka yang tamat latihan akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua.

“Bagi program itu, pihak Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang(MPBPP) telah memperuntukkan sebanyak RM375,000 untuk 25 pelajar tahfiz tersebut, mengikuti kursus tersebut selama dua tahun,” katanya. – Bernama