Kerjasama kerajaan, syarikat anchor bantu vendor Bumiputera

Kerjasama kerajaan, syarikat anchor bantu vendor Bumiputera

KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik antara kerajaan dengan syarikat utama (anchor) akan membolehkan pembekal (vendor)  Bumiputera menggunakan peluang untuk meningkatkan kebolehan, kepakaran serta reputasi masing-masing dalam meneroka peluang-peluang lain.

Timbalan Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan, Datuk R Ramanan berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, syarikat anchor disaran membantu kerajaan membangunkan program bersesuaian kepada usahawan baharu yang mempunyai aspirasi dan kebolehan untuk menjadi syarikat pembekal kepada syarikat anchor.

Beliau menyeru agar syarikat vendor meningkatkan prestasi dan keupayaan masing-masing tanpa mengharapkan bantuan daripada Anchor semata-mata.

“Dalam keadaan mencabar ini, kita perlu mempunyai daya tahan yang tinggi, kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa serta berfikiran kreatif dan inovatif.

“Saya amat yakin dengan keupayaan syarikat anchor dan vendor dalam memberikan komitmen sepenuhnya terhadap pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV).

“Jika terdapat sebarang kekurangan dari segi mutu perkhidmatan atau produk oleh usahawan-usahawan ini, bantu dan bimbinglah sewajarnya.

“Berilah juga peluang yang sebaiknya kepada graduan-graduan kita yang berkelayakan agar mereka dapat meneruskan legasi keusahawanan berteraskan landasan yang telah disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan 10 syarikat Anchor baharu, di sini, hari ini.

Dengan termetarainya MoU itu telah menjadikan bilangan keseluruhan syarikat anchor kepada 40 syarikat dalam PPV melibatkan lebih 1,300 vendor Bumiputera berdaftar di bawah syarikat anchor masing-masing.

Mengulas lanjut, Ramanan menambah, kerjasama antara kementerian dan syarikat anchor itu membuktikan bahawa kerajaan semua sentiasa komited dalam memperkasakan Agenda Pemerkasaan Bumiputera.

Beliau juga yakin, penglibatan lebih banyak syarikat anchor dan vendor daripada pelbagai sektor akan dapat memastikan sumbangan syarikat Bumiputera kepada ekonomi negara terus meningkat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk bekerjasama dengan semua golongan yang terbabit dalam keusahawanan selari dengan teras dan visi Malaysia Madani.

“Saya yakin bahawa usaha terancang dan bersepadu kita pada hari ini akan membuahkan hasil untuk mewujudkan bangsa usahawan yang akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk merealisasikan Malaysia sebagai jaguh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serantau.

“Seterusnya mampu mencapai sasaran untuk muncul sebagai 30 ekonomi terbesar di dunia seperti mana yang telah digariskan Perdana Menteri di bawah Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top