Kerjasama Malaysia-Jepun buka peluang latihan lebih 1,000 belia

Kerjasama Malaysia-Jepun buka peluang latihan lebih 1,000 belia

am@hmetro.com.my

Langkawi: Lebih lima dekad kerjasama Malaysia-Jepun dalam pelbagai pendekatan strategik membuka peluang latihan industri kepada lebih 1,000 belia tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pada masa sama kira-kira 3,000 belia lagi menerima manfaat menerusi program kemahiran yang dilaksanakan di dalam negara.

Katanya, sebahagian besar daripada kumpulan terbabit kini berjaya menempatkan diri dalam sektor swasta, khususnya syarikat multinasional Jepun yang beroperasi di Malaysia.

“Tahun ini menandakan hampir enam dekad kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pertubuhan untuk Kemajuan Perindustrian, Kerohanian dan Kebudayaan (OISCA) sejak ia bermula pada 1967.

“Sejak awal, lebih 1,000 belia menjalani latihan industri di Jepun, manakala 3,000 lagi mengikuti program kemahiran tempatan, dengan kira-kira 70 peratus kini bekerja di sektor swasta, terutama syarikat multinasional Jepun,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Forum Perniagaan Antarabangsa MARA-OISCA 2026 di sini, malam ini.

Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif OISCA Antarabangsa, Yasuaki Nagaishi dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, hubungan Malaysia dan Jepun terbina atas asas kepercayaan, saling menghormati serta perkongsian nilai sejak tahun 1957 lagi.

Katanya, kerjasama MARA dan OISCA bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran, malah membentuk belia berdisiplin, beretika serta memiliki kepimpinan tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa ilmu, inovasi dan teknologi digital kini menjadi pemacu utama daya saing ekonomi global moden, berbanding kebergantungan kepada sumber asli semata-mata.

Dalam perkembangan sama, MARA-OISCA menerusi MARA-OISCA International Business Forum (MOIBF) 2026 menghimpunkan kira-kira 300 usahawan, termasuk 200 usahawan Bumiputera dan 100 usahawan antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top