Kuala Lumpur: Malaysia kini berada di landasan untuk muncul sebagai hab Kecerdasan Buatan (AI) dan Pusat Kecemerlangan AI di ASEAN menerusi pemeteraian kerjasama antara Corporation dan YTL Power International Bhd.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pemeteraian itu bertujuan untuk membangunkan infrastruktur AI menggunakan tenaga hijau di Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM10 bilion.
“Projek mega ini meliputi pembangunan pusat data AI, penggunaan unit pemprosesan grafik (GPU) berkuasa NVIDIA, dan yang paling penting, penciptaan model bahasa raya (LLM) berdaulat Malaysia sendiri,” katanya dalam hantaran di platform X, semalam.
YTL Power adalah anak syarikat kepada YTL Corporation Bhd.
Beliau berkata, YTL juga bakal membina ekosistem AI dengan kerjasama rakan kongsi teknologi, pembekal dan kontraktor tempatan.
Kerjasama itu juga membuktikan setiap perbincangan dan perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat antarabangsa bukan sahaja memberikan hasil, namun turut membuka jalan kepada permulaan pelaburan yang bakal mengubah landskap ekonomi dan teknologi negara, katanya.
Inisiatif ini juga adalah susulan pertemuan Anwar bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong.
© New Straits Times Press (M) Bhd