dayana@mediaprima.com.my
Seoul: Malaysia dan Korea Selatan bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pendidikan dalam kedua-dua sektor awam dan swasta khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, terdapat lebih daripada 5,000 rakyat Malaysia belajar di Korea Selatan dalam empat dekad yang lalu dan Pusat Pendidikan Korea di Kuala Lumpur dibuka di bawah seliaan terus Korea Selatan pada 2020.
“Kedua-dua pihak menyatakan hasrat mereka untuk melihat pertukaran pelajar berterusan dan ahli akademik serta pertukaran bahasa dan budaya termasuk melalui King Sejong Institute.
“Kedua-dua pihak juga memutuskan untuk bekerjasama memupuk pendidikan TVET membabitkan pelbagai peserta termasuk kerajaan pusat dan tempatan, institusi TVET dan syarikat,” katanya.
Menurut Wisma Putra, kedua-dua negara mengumumkan kerjasama strategik melalui Kenyataan Bersama yang merangkumi empat bidang iaitu Keamanan dan Keselamatan; Ekonomi; Budaya, Pendidikan dan Pelancongan serta Global dan Serantau.
Katanya, kedua-dua negara turut mengalu-alukan peningkatan ketara dalam bilangan pelawat antara dua negara, berbanding ketika wabak Covid-19 berada di kemuncaknya.
“Kedua-dua negara bersetuju untuk meneruskan meningkatkan pertukaran rakyat dengan rakyat dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, yang akan mendalami pelancongan dua hala dan memudahkan lagi pergerakan rakyat antara Korea Selatan dan Malaysia.
“Kedua-dua pihak percaya bahawa pelancongan boleh dipermudahkan lagi dengan mengukuhkan usaha bersama dalam fungsi konsular dan meningkatkan kerjasama dalam perkara berkaitan konsular,” katanya.
Wisma Putra berkata, selain bidang pendidikan dan pelancongan, kedua-dua pihak juga bersetuju bekerjasama dengan lebih erat berkaitan kerajaan digital melalui perkongsian pengetahuan, aktiviti pembinaan kapasiti bersama, dan perundingan.
“Menyedari pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia pada Februari 2021, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka cara mengukuhkan kerjasama dalam bidang seperti dasar Teknologi Maklumat, 5G, kecerdasan buatan (AI) dan data raya yang ditandatangani oleh kedua-dua negara pada November 2019,” katanya.
Katanya, kedua-dua negara juga mengiktiraf perkongsian ekonomi yang dinamik dan saling menguntungkan memandangkan Korea Selatan adalah antara sumber pelaburan asing terbesar di Malaysia.
“Kedua-dua pihak mengesahkan komitmen untuk terus menggalakkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan selaras dengan prinsip persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), serta pertukaran teknologi antara Korea Selatan dan perniagaan Malaysia dengan tumpuan khusus mengenai teknologi revolusi industri keempat, ekonomi digital, ekosistem halal serta agenda hijau,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini sedang dalam lawatan rasmi ke Korea Selatan dari 24 hingga 26 November 2024.
Ia adalah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke republik ini sejak menyandang jawatan pada November 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd




