mdroji@bh.com.my
Kuching: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan Sarawak bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengekang aktiviti penyeludupan diesel yang dijangka meningkat berikutan harga bahan api itu yang lebih rendah di Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata, perkara itu beliau dibangkitkan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg supaya langkah penguatkuasaan dapat diperkukuhkan bagi memastikan subsidi bahan api tidak disalahgunakan.
Menurutnya, kerajaan menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi subsidi bahan api termasuk RON95, diesel serta inisiatif bantuan seperti program BUDI95.
“Jika dicampur subsidi minyak dan diesel bersama BUDI95, ia boleh mencecah kira-kira RM3.2 bilion sebulan.
“Subsidi minyak sahaja sekitar RM2 bilion dan jika berterusan sepanjang tahun, jumlahnya boleh mencecah RM25 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri Tahun 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Perkarangan Masjid Jamek, Petra Jaya, di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Anwar, beliau berharap situasi harga minyak dunia dapat kembali stabil agar beban kewangan negara tidak terus meningkat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan ketika ini tidak bercadang mengubah subsidi petrol RON95 dan pada masa sama berusaha melakukan penjimatan dalam sektor lain.
Katanya, tahun lalu kerajaan mengambil keputusan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, dengan hanya Brunei mempunyai harga yang lebih rendah.
“Keputusan itu dibuat kerana saya tidak mahu rakyat berpendapatan rendah terus terbeban dengan kenaikan harga minyak dan kos sara hidup,” katanya sambil menambah langkah itu mendapat sokongan penuh Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan program BUDI95 setakat ini menunjukkan rekod yang baik serta memberi manfaat kepada golongan sasar.
Mengulas situasi global, Anwar berkata, harga minyak dunia kini melonjak melebihi AS$100 setong susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah termasuk konflik melibatkan Iran dan Israel yang turut memberi kesan kepada ekonomi dunia.
Menurutnya, konflik itu turut menjejaskan laluan perdagangan penting seperti Selat Hormuz yang menjadi laluan utama kapal pengangkutan minyak dan barangan, sekali gus memberi kesan kepada rantaian bekalan global.
Dalam perkembangan lain, Anwar memberi jaminan kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek penting di Sarawak termasuk pembaikan baraj Sungai Sarawak bernilai RM150 juta serta usaha memperkukuh bekalan air, dengan kerjasama rapat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selepas sambutan Aidilfitri nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




