Kerjasama Petronas – SPRM kukuh tadbir urus dan antirasuah

Kerjasama Petronas – SPRM kukuh tadbir urus dan antirasuah

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Putrajaya: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menegaskan komitmennya sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menjadi peneraju integriti dan antirasuah melalui kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Komitmen itu dizahirkan dalam pertemuan delegasi Unit Integriti Kerajaan (IGU) Petronas yang diketuai Ketua Pegawai Integriti Kumpulan, Mohamad Faizal Sadri dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pertemuan itu bertujuan meraih panduan bagi memperkukuh pengamalan etika sepanjang operasi dan rantaian bekalan Petronas serta memperkasakan integriti syarikat melebihi isu rasuah dan jenayah kewangan.

“Dalam sesi itu juga, Petronas turut membentangkan kemajuan pelaksanaan pelbagai inisiatif tadbir urus termasuk penambahbaikan mekanisme ‘whistleblowing’, pengukuhan kerjasama perkongsian awam-swasta, program kesedaran berasaskan kepimpinan serta pelan lima tahun integriti dan antirasuah yang turut merangkumi aspek pengubahan wang haram.

“Petronas menegaskan komitmen untuk terus memupuk budaya integriti yang melangkaui pematuhan semata-mata, selaras dengan aspirasi syarikat untuk menetapkan piawaian baharu integriti dalam landskap korporat negara,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, Azam berkata, SPRM menekankan pentingnya pendekatan pencegahan yang komprehensif, perlindungan efektif bagi ‘whistleblower’, dan pengendalian laporan secara telus untuk meningkatkan kepercayaan serta akauntabiliti dalam organisasi.

“SPRM turut menggalakkan kerjasama dalam program pembangunan kapasiti serta perkongsian amalan terbaik bagi memastikan penambahbaikan berterusan dan pematuhan etika, sekali gus meletakkan kedudukan Petronas sebagai GLC peneraju dalam integriti dan kecemerlangan antirasuah,” katanya.

Selain itu, Azam turut menyambut baik cadangan untuk beliau hadir berkongsi visi dan aspirasi berkaitan pendekatan strategik SPRM dalam sesi “Coffee With Integrity” bersama Pengurusan Tertinggi Petronas yang akan diadakan pada tahun depan.

Dalam pada itu, turut hadir dalam kunjungan ialah Pengurus Besar (Pengukuhan Integriti dan Jabatan Kerajaan Petronas) Norashikin Hassalli; Pengurus Pengukuhan Integriti(Pengukuhan Integriti dan Jabatan Kerajaan Petronas), Norsiati Shamsuddin; Pengurus Pengurusan Aduan (Jabatan Pengurusan Aduan) Tengku Bahrizal Ezani Tengku Mohamad dan Eksekutif Pengurusan Aduan (Jabatan Pengurusan Aduan), M Afiq M Zahari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top