Kerjasama PH-BN dalam PRN, PRU jadi tumpuan Konvensyen PH esok

Kerjasama PH-BN dalam PRN, PRU jadi tumpuan Konvensyen PH esok
Kerjasama PH-BN dalam PRN, PRU jadi tumpuan Konvensyen PH esok

Fahmi (kanan) meninjau persiapan akhir Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru pada Sabtu.

JOHOR BAHRU – Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) akan datang dijangka dibincang dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) pada Ahad.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, konvensyen tersebut akan menentukan hala tuju kerjasama demi menjaga kepentingan rakyat dan kestabilan politik.

“Maka sudah pasti pada waktu ini kita akan berusaha untuk pastikan hubungan di Persekutuan itu kekal utuh sebagai Kerajaan Perpaduan.

“Banyak yang masih perlu kita laksanakan dan kita tahu pada waktu ini negara berdepan dengan krisis bekalan global dan sudah pasti kestabilan politik di Persekutuan itu sangat penting.

“Alhamdulillah, kalau kita lihat apa yang berlaku di Negeri Sembilan akhirnya UMNO Negeri Sembilan kekal menyokong Kerajaan Perpaduan walaupun ada beza pandangan dalam beberapa perkara, tapi telah berjaya diuruskan dengan tertib, tersusun dan tidak menjejaskan dari segi pentadbiran,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninjau persiapan akhir Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini pada Sabtu.

Fahmi berkata, usaha tersebut akan diperkukuh di peringkat Persekutuan seperti yang sudah ditandatangani sewaktu pembentukan kerajaan Perpaduan sebelum ini.

Sebelum itu pada Sabtu, Pengerusi BN, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Menteri Besar Johor itu berkata, keputusan tersebut diputuskan selepas mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH yang terdiri daripada DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi yang mana Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.

Scroll to Top