Kerjasama Ranhill SAJ, Ryt Bank pacu pembayaran digital utiliti di Johor

Kerjasama Ranhill SAJ, Ryt Bank pacu pembayaran digital utiliti di Johor

RANHILL SAJ bekerjasama dengan Ryt Bank bagi memperluas penggunaan pembayaran digital utiliti, sekali gus menawarkan kemudahan transaksi berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta penjimatan kepada pengguna di Johor.

Melalui kerjasama itu, penduduk kini boleh mengurus dan membayar bil air dengan lebih cekap dan selamat menerusi platform digital yang disediakan, sejajar dengan peningkatan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Mohd Hedzir Hanafi berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui pendigitalan perkhidmatan.

“Peranan kami bukan sekadar membekalkan air terawat dan selamat, tetapi turut komited untuk memperbaiki kehidupan seharian rakyat Johor.

“Kerjasama ini membolehkan kami menawarkan penjimatan yang lebih bermakna kepada isi rumah serta menggalakkan penggunaan digital melalui aplikasi Ranhill SAJ,” katanya.

Menurutnya, langkah itu turut membantu mengukuhkan operasi syarikat melalui proses pendigitalan yang lebih efisien.

Bermula 27 April 2026, pengguna yang mengaktifkan akaun Ryt Bank dan membuat pembayaran bil air minimum RM10.50 layak menerima pulangan tunai sehingga RM6 bagi transaksi yang memenuhi syarat dalam tempoh dua bulan.

Antara transaksi terlibat termasuk pembayaran digital melalui ciri Snap & Pay (JomPAY), penggunaan kad tanpa tunai serta pembayaran di kaunter Ranhill SAJ.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan transaksi dan menambah baik pengalaman pelanggan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata, kerjasama itu selari dengan usaha bank menjadikan perbankan lebih praktikal dan relevan dalam kehidupan harian.

“Dengan integrasi pembayaran berasaskan AI ke dalam perkhidmatan penting seperti bil air, kami bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran, malah membantu pelanggan menikmati penjimatan sebenar melalui pulangan tunai dan pilihan pembayaran fleksibel,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ryt Bank turut memperkenalkan ciri Ryt PayLater pada Kad Ryt yang membolehkan pengguna memilih sama ada menggunakan debit atau kemudahan ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL).

Ciri itu memberi fleksibiliti kepada pengguna dalam mengurus perbelanjaan harian, di samping menggalakkan penggunaan pembayaran digital secara lebih meluas.

Kedua-dua pihak dijangka terus meneroka inisiatif baharu bagi menyokong peralihan Johor ke arah ekonomi digital yang lebih inklusif.

Scroll to Top