fidahruzki@bh.com.my
PUTRAJAYA: Pendekatan seluruh kerajaan dan masyarakat menjadi kunci negara menangani cabaran getir dalam mengimbangi usaha menyelamatkan nyawa serta mata pencarian ketika berdepan pandemik COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pendekatan itu membabitkan pelbagai kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai sektor dan juga komuniti setempat.
Beliau berkata, pandemik COVID-19 yang melanda dunia memberi impak dan kesan mendalam terhadap aspek sosio-ekonomi dunia bagi banyak negara seterusnya memberi kesan terhadap banyak perkara asas kehidupan seharian.
Seperti kebanyakan negara lain, katanya, Malaysia juga tidak terkecuali dalam mencari keseimbangan pendekatan menyelamatkan nyawa serta mata pencarian.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan usaha global untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan kesihatan bagi mencapai kesihatan optimum untuk semua, dan Kementerian Kesihatan (KKM) sememangnya sentiasa berusaha bagi memastikan perkara ini dapat dicapai melalui pelbagai inisiatif yang dirangka dan dilaksana.
“Aktiviti kesihatan awam dan perkhidmatan perubatan terus dijalankan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, tidak kira pangkat, umur, bangsa mahupun status kewarganegaraan, mendapat akses yang saksama.
“Ini sememangnya sejajar dengan semangat solidariti iaitu tiada siapa yang akan ketinggalan,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2021, hari ini.
Beliau yang mengucapkan Selamat Hari Kesihatan Sedunia, berkata tarikh 7 April setiap tahun adalah sambutan Hari Kesihatan Sedunia.
Katanya, tema sambutan tahun ini adalah ‘Membina Dunia yang Lebih Sihat dan Saksama’ (Building a Fairer Healthier World).
“Kesihatan setiap penduduk di Malaysia amatlah bermakna. Setiap daripada kita boleh memainkan peranan untuk menjaga diri sendiri serta orang di sekeliling kita.
“Teruskanlah mengamalkan moto yang sering diutarakan ‘Kita jaga kita’ pada setiap masa dan tempat,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, semua pihak tidak boleh leka serta perlu konsisten mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang disarankan, kerana ia akan membuahkan kemenangan melawan COVID-19, bukan sahaja dari aspek kesihatan, tetapi juga sosio-ekonomi.
“Sekali lagi KKM ingin mengucapkan Selamat Hari Kesihatan Sedunia 2021 kepada seluruh penduduk di Malaysia.
“Semoga kita dapat mencapai Malaysia yang lebih sihat dengan kesihatan yang saksama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




