am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kerjasama antara UMNO dan PAS perlu dimeterai secara lebih kukuh demi kepentingan umat Islam di negara ini.
Pengerusi Majlis Ulama UMNO Datuk Dusuki Ahmad berkata, perkara itu penting bagi memastikan agenda penyatuan umat Islam dapat diperkukuhkan ketika masyarakat berdepan pelbagai cabaran dan perpecahan.
“Selama ini kita hanya berunding dan berunding, muafakat dan muafakat, kerjasama dengan begitu sahaja. Jadi kita harap akan datang supaya kerjasama itu dimeteraikan sebab ia bukan sahaja kepentingan UMNO dan PAS tetapi untuk seluruh umat Islam.
“Dalam dunia sekarang ini, penyatuan itu amat penting sekali dan saya merasai ijtihad yang kita buat hari ini iaitu UMNO dan PAS melalui penyatuan dan kerjasama itu amat baik sekali,” katanya ketika menghadiri Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS, di sini, hari ini.
Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS itu dirasmikan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Mengulas lanjut, Dusuki berkata, keadaan semasa yang disifatkannya sebagai dunia terbuka menjadikan penyatuan semakin penting bagi memastikan kekuatan umat Islam terus dipelihara.
“Untuk muktamar Dewan Ulama PAS hari ini, saya berterima kasih atas jemputan dan cukup gembira apabila dapat hadir hari ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


