Pelakon kacak Haidar Hasanudin bersyukur kerjaya sebagai hos semakin mendapat perhatian.
Menurut Haidar yang mula mengacara sejak 2019, mengemudi sesebuah program sebagai teraju utama menjadi cinta pertamanya.
“Sebenarnya, saya bermula sebagai sebagai hos audio siar (podcast) pada 2019. Ketika itu, podcast belum lagi terkenal seperti sekarang. Itu merupakan langkah awal saya dalam untuk bergerak sebagai anak seni.
“Saya mengacarakan Podcast Malam Jumaat di YouTube dan pernah menemu bual ramai selebriti terkenal seperti Ara Johari, Datuk Chef Wan, Zizi Kirana, Johan, Ozlynn dan ramai lagi.
“Selepas itu, rezeki saya dalam bidang hiburan semakin membuahkan hasil dan saya mula berlakon. Jadi, orang kenal saya sebagai pelakon. Namun begitu, saya sifatkan bidang pengacaraan ini sebagai cinta pertama saya.
“Saya bersyukur kerana kini saya kembali aktif mengacara untuk program mingguan KLTV yang bersiaran di Inspirasi, saluran 118 Unifi TV. Program hiburan itu menggandingkan saya bersama Sissy Imann selaku rakan pengacara,” katanya.
Selesa mengendalikan program hiburan, Haidar juga terbuka untuk mencuba genre lain dalam bidang pengacaraan.
“Sudah tentu saya selesa mengacarakan program berbentuk hiburan. Saya sendiri ada meletakkan sasaran untuk berguru dengan lebih dalam lagi sebagai pengacara. Sebagai anak seni, proses pembelajaran itu tidak pernah berhenti.
“Insya-Allah, jika diberikan kesempatan, saya mahu mencuba untuk mengacarakan program seperti travelogue, masakan, dokumentari dan sebagainya. Saya mahu menjadi pengacara serba boleh.
“Ibarat sirih pulang ke gagang, saya sangat gembira dapat kembali aktif mengacara dan menanti peluang lain untuk mempelbagaikan lagi portfolio saya sebagai peneraju program atau majlis,” katanya.
Tambah pelakon drama bersiri Layang Layang Perkahwinan ini, dia tetap tidak akan melupakan bidang lakonan yang memperkenalkan namanya dalam kalangan peminat.
“Walaupun aktif mengacara, saya tetap tak akan tinggalkan dunia lakonan yang saya sayangi. Bidang ini membuka pintu rezeki buat saya dan meninggalkan kesan tersendiri, selain memperkenalkan nama saya dalam bidang seni.
“Sebagai seorang pelakon, saya sentiasa terbuka untuk menjayakan watak-watak baharu dan mahu meneroka sisi lain sebagai seorang aktor.
“Saya menyimpan hasrat untuk berlakon dalam naskhah ketenteraan yang memerlukan aksi dan lagak ngeri. Saya juga mahu menjayakan watak yang benar-benar meninggalkan impak di hati penonton,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, lakonan Haidar kini menghiasi drama bersiri Seindah Hujan Cinta yang menampilkan Datin Nelydia Senrose, Yusuf Bahrin, Ezzanie Jasny dan Hariz Hamdan selaku teraju utama.
“Saya memegang watak Putra, kawan kepada Wassim lakonan Yusuf Bahrin. Selain satu pejabat, Putra juga merupakan sahabat baik kepada Wassim.
“Putra menjadi pendengar masalah dan konflik yang tercertus antara Wassim dan isteri-isterinya itu.
“Saya gembira dapat bekerjasama dengan pengarah, krew dan pelakon-pelakon lain yang begitu berbakat,” katanya lagi.
Jangan lupa saksikan Seindah Hujan Cinta yang sudah memasuki minggu terakhir di Tonton!
Diarahkan oleh Nizam Zakaria, drama bersiri adaptasi novel tulisan Qash Shazwani ini diterbitkan oleh Jalena Rejab menerusi produksi Country & Universal Sdn Bhd.