Kerosakan sistem semboyan laluan Batang Kali pulih sepenuhnya – KTMB

Kerosakan sistem semboyan laluan Batang Kali pulih sepenuhnya – KTMB

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerosakan sistem semboyan (signalling) bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter di laluan Batang Kali yang berlaku pagi semalam, berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 5 petang tadi.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), memaklumkan gangguan itu menjejaskan operasi pergerakan tren dan menyebabkan beberapa perkhidmatan ETS serta KTM Komuter Lembah Klang mengalami kelewatan kira-kira 30 minit daripada jadual asal.

KTMB, menyatakan sejurus gangguan dikenal pasti, pasukan teknikalnya digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan dan kerja baik pulih bagi memastikan sistem dapat dipulihkan dengan selamat serta operasi tren dapat kembali berjalan seperti biasa.

“Susulan kerja pemulihan yang sudah selesai, semua perkhidmatan ETS dan KTM Komuter Lembah Klang kini kembali beroperasi mengikut jadual seperti biasa,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Pagi semalam, KTMB, memaklumkan kerosakan semboyan di laluan Batang kali, menyebabkan kelewatan perkhidmatan selama 30 minit daripada jadual asal.

KTMB turut memohon maaf kepada penumpang yang terkesan atas kesulitan dan kelewatan yang dialami sepanjang tempoh gangguan.

“KTMB turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama penumpang sepanjang kerja pemulihan dilaksanakan.

“Penumpang boleh terus merujuk saluran media sosial rasmi KTMB bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan status perkhidmatan tren,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top