am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiapkan kertas cadangan bagi pelaksanaan insentif gula secara bersasar sebelum dibentangkan dan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh bagaimanapun tidak mendedahkan butiran mengenai kertas cadangan berkenaan.
“Ada insentif gula… dan pihak KPDN sedang menyiapkan kertas (untuk dibincangkan dalam) MJM (Mesyuarat Jemaah Menteri), belum lulus… sedang menyiapkan beberapa cadangan (termasuk) bagaimana hendak mengurangkannya. Ini akan dibawa ke kabinet,” katanya ketika diminta mengulas perkara berkenaan dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian KBBM di Lotus Setia Alam, di sini petang tadi.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying ketika dalam sidang Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi bagi barangan keperluan utama seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa bagi mengelakkan ketirisan.
Lim berkata, langkah ini akan dilaksanakan selepas kajian menyeluruh dibuat bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar dan tidak membebankan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata, mekanisme pemberian minyak masak peket bersubsidi masih lagi digunakan dengan kuota 60,000 metrik tan sebulan masih kekal dijual di pasaran tempatan sehingga kini.
“Kita memastikan bahawa minyak masak ini sampai kepada pengguna iaitu rakyat Malaysia melalui penggunaan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) untuk mengesan perjalanan minyak masak.
“Rakyat Malaysia boleh membuat imbasan pada kod QR aplikasi itu dan itu memberi mereka akses untuk pengguna membeli minyak masak. Ini bagi memastikan bahawa tidak ada ketirisan kepada yang bukan rakyat Malaysia membelinya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




