Kertas cadangan RUU Tribunal Anti-Buli perlu siap dalam tempoh enam bulan – Ahmad Zahid

Kertas cadangan RUU Tribunal Anti-Buli perlu siap dalam tempoh enam bulan – Ahmad Zahid

Bagan Datuk: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said diberi tempoh enam bulan, untuk membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kertas cadangan itu hanya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas Azalina mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan di seluruh negara.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Jemaah Menteri mencadangkan supaya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara dilibatkan dalam proses tersebut, termasuk sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains MARA, sekolah elit seperti Maktab Tentera Diraja serta universiti awam dan swasta.

“Penggubalan ini (rang undang-undang itu) penting bagi menyekat perbuatan buli daripada terus berlaku dan menghantui pemikiran ibu bapa serta anak-anak atau pelajar yang menjadi mangsa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Motivasi Desa (MODE)@KEMAS KKDW dan Program Bakti MADANI@KPT, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, badan beruniform kemungkinan akan dilibatkan dalam penggubalan Rang Undang-Undang berkenaan bagi mengelakkan sebarang isu.

“Pewujudan tribunal ini yang pada hemat saya harus meliputi semua pihak. Kita tidak mahu sebarang pertuduhan itu mencemarkan nama mana-mana institusi di negara kita,” katanya.

Mengenai inisiatif Quran Minute@Tabika/Taska Kemas, Ahmad Zahid berkata, program yang dijalankan sebagai projek perintis itu akan diperluaskan dengan pelaksanaan lima minit setiap hari di semua Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negara.

“Terdapat 10,883 tabika dan inisiatif ini dapat membudayakan serta membiasakan anak-anak di bawah Kemas dengan pelbagai doa dan amalan baharu yang akan memupuk keperibadian mereka,” katanya.

Berkenaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), Ahmad Zahid berkata, ia usaha bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, PPRS akan terus diperluas termasuk memperbaiki rumah-rumah yang sebelum ini dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Kita telah meminta GiatMARA, Felcra Bina (Felcra Bina Sdn Bhd) serta Risda Bina (Risda Bina Sdn Bhd) untuk melaksanakannya (PPRS) di seluruh negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top