Kertas Putih reformasi sistem kesihatan akan dibentang di Parlimen

Kertas Putih reformasi sistem kesihatan akan dibentang di Parlimen

fidahruzki@bh.com.my

PUTRAJAYA: Satu Kertas Putih Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan reformasi sistem kesihatan bagi menangani isu kesihatan termasuk kanser dalam kalangan golongan berpendapatan rendah, akan disediakan untuk dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Selain reformasi sistem kesihatan, Kertas Putih itu juga akan melihat reformasi sistem pembiayaan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Kerajaan melalui KKM sebelum ini memperkenalkan program PeKa B40 bagi menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah.

Ia merangkumi saringan kanser tertentu, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

“Bagaimanapun, dengan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuklah kanser yang terus meningkat, kita memerlukan satu reformasi sistem kesihatan yang kalis masa hadapan dan ia akan turut merangkumi reformasi sistem pembiayaan kesihatan (healthcare financing).

“Sehubungan itu satu Kertas Putih Kementerian Kesihatan Malaysia akan disediakan untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapat sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kanser Sedunia, hari ini.

Khairy berkata, KKM melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11 peratus (115,238 kes) bagi tempoh 2012-2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007-2011.

Kematian akibat kanser pula menjadi sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu sebanyak 34.95 peratus dan sebab kematian keempat di hospital KKM pada kadar 11.56 peratus.

Katanya, kanser juga antara sepuluh sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital KKM (5.17 peratus) dan hospital swasta (5.37 peratus).

Berita lanjut menyusul

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top