Kertas siasatan kes Zara Qairina dirujuk semula kepada AGC

Kertas siasatan kes Zara Qairina dirujuk semula kepada AGC

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir akan dirujuk semula kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ia untuk nasihat dan arahan selanjutnya selepas siasatan lanjut selesai dilaksana oleh pasukan khas (Task Force) JSJ Bukit Aman.

Katanya, setakat ini seramai 195 saksi sudah dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah membabitkan saksi pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa dan lain-lain yang material kepada siasatan.

“Siasatan polis memfokuskan kepada dua elemen penting iaitu siasatan daripada aspek inkues dan aspek perlakuan jenayah lain seperti buli serta penularan berita palsu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.

Katanya, pihaknya juga memberi jaminan bahawa proses siasatan yang dilaksanakan adalah secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top