razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kertas siasatan berhubung laporan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang mendakwa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa kerelaan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan itu dirujuk pada 29 September lalu untuk penelitian dan arahan selanjutnya.
“Polis sedang menunggu keputusan serta arahan lanjut daripada pihak AGC berkenaan kertas siasatan itu.
“Sebarang tindakan dan siasatan lanjut pihak polis adalah tertakluk kepada hasil penelitian dan arahan daripada pihak AGC,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai status terkini siasatan berhubung laporan polis yang dibuat Ismail pada 8 September 2026 mengenai dakwaan berkenaan, serta tindakan yang sudah atau akan diambil terhadap pihak terbabit.
Saifuddin berkata, polis menerima laporan itu sebelum menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan.
Katanya, sehingga kini, polis merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan ini.
“Polis akan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.
Ismail sebelum ini menegaskan dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang beliau tandatangani dan tular, dibuat tanpa kerelaan hatinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




