Kertas siasatan ucapan Noorazli diserah kepada Peguam Negara esok

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis selesai menjalankan siasatan berhubung ucapan perwakilan UMNO Selangor, Datuk Noorazli Said ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menyentuh sensitiviti agama, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, setakat ini polis menerima 86 laporan mengenai isu berkenaan, manakala percakapan 93 individu sudah dirakam.

“Individu yang dirakam percakapan terdiri daripada orang awam, pihak penganjur dan perwakilan UMNO termasuk suspek (Noorazli).

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara esok untuk arahan dan nasihat selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Kumar berkata, Seksyen 298 Kanun Keseksaan membabitkan perbuatan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat dengan niat untuk melukakan perasaan agama seseorang.

Katanya, jika disabitkan, kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Jika disabitkan, kesalahan itu boleh membawa denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan atau menyalahgunakan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian bagi menyebarkan maklumat yang tidak ditentukan kesahihannya.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal sebagai platform yang selamat di samping dapat memupuk budaya komunikasi yang matang serta saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara,” katanya.

Terdahulu, ucapan Noorazli ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026 mencetuskan kontroversi susulan kisah berbentuk jenaka membabitkan seorang paderi dan biarawati ketika beliau berucap mengenai kepentingan kebijaksanaan politik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top