Kes 1MDB: Tiada sebarang pengesahan 4 surat derma

Kes 1MDB: Tiada sebarang pengesahan 4 surat derma

am@hemtro.com.my

Putrajaya: Mahkamah Tinggi di sini mendapati tiada sebarang pengesahan dibuat terhadap empat surat yang dikemukakan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bukti derma daripada pemerintah Arab Saudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, surat terbabit tidak pernah dikemukakan dalam bentuk asal kepada mahkamah.

Katanya bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu hanya bersandarkan kepercayaannya kepada kerabat diraja Arab Saudi dan tiada bukti menunjukkan dana itu sepatutnya disalurkan secara berperingkat.

“Dalam pembelaannya, cara dana itu disalurkan adalah sepenuhnya terpulang kepada Almarhum Raja Abdullah, namun hujahan itu tidak membantu kes pembelaan.

“Surat itu dipalsukan kerana ada keterangan menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca daripada dana 1MDB. Ada jejak kewangan pengesanan dana itu yang menunjukkan ia disalurkan melalui pihak ketiga iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore iaitu entiti yang dimiliki oleh ahli kewangan buruan Eric Tan” katanya ketika membacakan keputusan selama lebih tiga jam.

Beliau berkata, tindakan itu satu cubaan tertuduh untuk mengabsahkan dakwaannya bahawa dana yang diterimanya adalah sumbangan derma.

Sehubungan itu beliau berkata, Mahkamah memutuskan bahawa naratif sumbangan Arab adalah tidak berasas dan dana berkenaan sebenarnya berasal daripada 1MDB.

Mengikut pertuduhan Najib didakwa melakukan kesalahan berkait suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding bersambung jam 3 petang ini untuk memberi laluan kepada semua pihak menunaikan solat Jumaat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top