'Kes ADUN Sabah belum dipadam atau ditutup, mesti disiasat' – Anwar

'Kes ADUN Sabah belum dipadam atau ditutup, mesti disiasat' – Anwar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri menegaskan siasatan berhubung video kes rasuah yang dikaitkan dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah belum ditutup atau dipadam, sekali gus menolak dakwaan kononnya kerajaan melindungi mana-mana pihak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri menonton video berkenaan dan menganggap ia mempunyai asas kukuh untuk disiasat, namun menegaskan perkara itu berada sepenuhnya dalam bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Menurut pemberitahuan SPRM, (kes itu) sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Setakat ini, (untuk) kes jenayah, dia tak ada time limitation, jadi kena sabar.

“Setakat ini tiga individu sudah didakwa, tetapi kita tidak lepaskan semua yang lain. Mengapa ada dakwa tiga? Kerana (mereka) ada compelling case, tetapi yang lain kes mereka tidak pernah dipadam atau ditutup.

“Saya tidak mahu mengarahkan. Mesti dakwa berdasarkan video… saya tak boleh. Ini yang kadang-kadang diputar balik kenyataan saya. Saya lihat video itu dan ianya harus disiasat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PN) yang mempertikai mengapa semua ADUN Sabah yang dikaitkan dalam video tular sebelum ini masih belum dikenakan tindakan, sebaliknya ada di antara mereka kini menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Sebelum ini, ahli perniagaan Albert Tei mengeluarkan beberapa video memaparkan ADUN Sabah didakwa menerima rasuah untuk memudahkan usaha Tei mendapatkan lesen penerokaan mineral.

Tei turut mengemukakan lebih daripada 300 muka surat bukti kepada SPRM, termasuk jejak wang, rekod bank, dokumen dan surat-menyurat bertulis sebagai bukti menyokong dakwaan dalam video itu.

Daripada 14 ahli politik Sabah yang terbabit dalam video Tei, hanya dua yang sudah didakwa dengan rasuah.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya kerajaan melindungi pemimpin tertentu kerana hubungan politik, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa dua individu yang sudah didakwa adalah daripada parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dua didakwa itu orang dalam parti Kerajaan Perpaduan. Jadi bukan kita melindungi. Tapi apa yang harus Perdana Menteri lakukan? Beri arahan yang kukuh. Jangan kecualikan sesiapa, tapi bukti yang kuat,” katanya.

Beliau menegaskan, sama ada akan ada pertuduhan susulan atau tidak, ia bergantung sepenuhnya pada penemuan siasatan pihak berkuasa.

“Apakah yang lain akan didakwa kemudian? Itu saya tidak tahu. Pokoknya, belum dipadam. Belum ditutup kes mereka. Daripada maklumat sampai kepada saya, belum,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top