am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa aspek akan dilihat sekiranya siasatan jenayah dijalankan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, semalam.
Pakar Undang-Undang Datuk Salehuddin Saidin berkata, ia termasuklah elemen jenayah, curang atau perbuatan menipu dilakukan ketika keputusan itu dibuat sehingga memberi kerugian kepada negara.
“Sama ada keputusan akhir itu akan memihak untuk dibuat pertuduhan atau tidak, ia akan tertakluk pada siasatan polis ini.
“Menjadi persoalan kini sama ada benar terdapat pihak yang membuat keputusan tidak mengikut faktor tertentu.
“Saya percaya, sekiranya penyiasatan ini dijalankan, ramai saksi akan dipanggil dan daripada keterangan itulah kita akan mendapat kesimpulan sama ada berlakunya sesuatu perkara yang bertentangan dengan amalan sepatutnya sehingga menjejaskan kedaulatan negara,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan supaya siasatan jenayah dimulakan terhadap Mahathir.
Perkara berkenaan antara yang disyorkan RCI berkenaan dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, semalam.
Mengulas lanjut, Salehudin berkata, bekas Pengerusi Bersatu itu masih mempunyai peluang untuk mempertahankan dirinya.
“Dr Mahathir masih mempunyai hak untuk pertahankan diri dan mengemukakan alasannya kenapa beliau bertindak demikian, adakah ketika itu sekadar menasihati atau pun mengarahkan pihak tertentu untuk menarik balik rayuan,” katanya.
Sementara itu, Pengamal undang-undang, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, Mahathir boleh dikenakan tindakan sekiranya keputusan itu dibuatnya sendiri ketika jemaah kabinet belum dilantik.
“Jika keputusan itu dibuat oleh Mahathir dan ketika itu belum ada pelantikan Kabinet, itu boleh salahkan dia sepenuhnya. Namun difahamkan Kabinet sudah dilantik dan ada perbincangan mengenainya.
“Walaupun keputusan itu dilakukan oleh Perdana Menteri, tapi keputusan berkenaan adalah tanggungjawab kolektif semua menteri. Jika kata Mahathir buat keputusan seorang diri, kena tunjukkan bukti,” katanya.
Berikutan itu, Shamsuddin menyifatkan siasatan jenayah terhadap Mahathir adalah tindakan yang sia-sia kerana ia mengambil masa panjang untuk dibuktikan.
Shamsuddin turut mempersoalkan sama ada anggota Kabinet ketika itu berani mengakui bahawa mereka ditipu kerana tindakan terbabit secara tidak langsung akan menjejaskan kredibiliti mereka sebagai menteri.
“(Jika benar ditipu) kena panggil setiap ahli Kabinet untuk mengaku mereka kena tipu. Tidak mungkin mereka mahu mengakui kerana itu menjatuhkan kredibiliti. Pada saya tuduhan menipu itu bukan senang untuk dibuktikan.
“Benda ini sia-sia kerana sebelum ini juga pernah ada kes yang turut membabitkan Dr Mahathir, namun anggota Kabinet itu tidak mengaku berlakunya penipuan,” katanya.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, sekiranya terdapat perbincangan dalam Kabinet berkaitan isu terbabit, sudah tentu ia menerima pertikaian dalam jemaah Menteri.
“Ada ramai peguam dalam jemaah Kabinet ketika itu, tidak mungkin mereka akan berdiam diri jika ada usul untuk tarik balik permohonan ICJ?
“Sudah tentu persoalan akan timbul dan mungkin sudah dinyatakan sekiranya kes itu diteruskan, apa akan berlaku, berapa peratus Malaysia akan menang dan jika nak tarik, sudah tentu Mahathir memberikan alasannya mengapa mahu berbuat demikian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



