Kes belasah lelaki tepi jalan, geng akak ‘sanggul’ masuk lokap tiga hari

Ingat lagi video pergaduhan akak ‘sanggul’ semalam? Terbaru, seramai tujuh suspek yang terbabit dalam kejadian di Pasir Tumboh, Kelantan itu direman tiga hari mulai hari ini.

Memetik laporan Utusan Online, empat suspek lelaki dan tiga suspek wanita yang berusia antara 19 hingga 46 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Ke­seksaan kerana merusuh.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi lebih tiga minit itu tular di media sosial memaparkan seorang buruh lelaki dibelasah beramai-­ramai oleh kumpulan suspek yang menaiki kereta Perodua Alza.

Difahamkan, punca kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang berjalan kaki pulang dari tempat kerjanya sebelum dihampiri kereta itu yang turut membunyikan hon.

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran dan ejek-mengejek sekali gus membuatkan mangsa hilang sabar dan menendang Perodua Alza tersebut sebelum dipukul beramai-ramai di tepi jalan.

Malah, rata-rata warganet lebih memberikan perhatian kepada penampilan salah seorang suspek wanita yang bertudung sanggul tinggi namun lagaknya tidak ubah seperti seorang samseng.

Sumber: Utusan Online (Zaain Zin)