Kes B*nuh Zulfarhan: 6 Bekas Pelajar UPNM Terlepas Hukuman G*ntung Sampai M*ti, Kekal Jalani Penjara 18 Tahun

Kes B*nuh Zulfarhan: 6 Bekas Pelajar UPNM Terlepas Hukuman G*ntung Sampai M*ti, Kekal Jalani Penjara 18 Tahun

Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Enam bekas pelajar tersebut didapati menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, menerima rayuan akhir keenam-enam perayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka.

Enam bekas pelajar terbabit ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang kini masing-masing berusia 29 tahun.

Susulan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini, mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Dalam penghakimannya, Hasnah menyatakan bahawa mahkamah mendapati elemen kecederaan yang menyebabkan kematian mangsa tidak dapat dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

“Oleh itu, mahkamah memutuskan untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi, iaitu di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan persubahatan, dengan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun,” katanya.

Pada 23 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar UPNM selepas membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan untuk menghidupkan semula pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap kesemua tertuduh setelah mendapati mereka bersalah menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM, antara jam 4.45 pagi hingga 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

 

Sumber: Harian Metro

Scroll to Top