am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Ako Mustapha, 55, memaklumkan isu anak lelakinya, Mika, 10, yang didakwa menjadi mangsa buli di sekolahnya turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ako atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha, berkata, setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan dengan kerjasama pihak sekolah sebelum meneruskan dengan tindakan lanjut.
“Kami menunggu pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh kerana perkara ini tidak boleh dibuat secara cincai. Mesyuarat bersama semua pihak berkaitan juga akan diadakan.
“Saya difahamkan Menteri Pendidikan sendiri akan hadir untuk turut serta dalam perbincangan itu.
“Disebabkan perkara ini semakin besar, saya dimaklumkan, Menteri Pendidikan akan datang ke sekolah esok untuk berjumpa dengan semua pihak yang terbabit,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Next Level anjuran mStar dan Suria di Saloma Bistro, di sini, malam ini.
Ditanya keadaan anaknya pula, Ako berkata, dia bersyukur Mikael berada dalam keadaan stabil, namun menyedari terdapat kesan lain selepas pemeriksaan lanjut di hospital.
“Alhamdulillah, keadaan anak saya okay. Dekat hospital pun dia sudah ada kawan baru dan bermain bersama-sama.
“Bagaimanapun, pakar psikologi kanak-kanak beritahu, walaupun pada awalnya kelihatan normal, pemeriksaan lanjut hari ini mendapati terdapat lebam lain yang sebelum ini tidak disedari.
“Selain itu, dia juga mengalami sedikit fobia serta trauma psikologi akibat kejadian itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ako berkata, setakat ini, masih belum ada sebarang pertemuan atau komunikasi bersama ibu bapa pembuli terbabit.
“Setakat ini, ibu bapa pelaku masih belum berjumpa atau menghubungi saya. Namun, pegawai penyiasat (IO) sangat komited dalam memastikan siasatan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Selepas laporan dibuat, IO segera menghubungi semua pihak berkaitan, walaupun pada awal pagi. Saya hanya mengikut nasihat pihak polis kerana mereka lebih arif dalam mengendalikan kes seperti ini.
“Mereka juga akan menjelaskan prosedur, syarat serta implikasi undang-undang yang berkaitan. Namun, saya mohon maaf kerana tidak dapat berkongsi butiran lanjut buat masa ini,” katanya.
Sebelum ini, menerusi hantaran dimuat naik di Threads, Ako mendakwa kejadian itu membabitkan lima murid iaitu dua murid senior dan tiga rakan sekelas.
Menurut Ako, kejadian yang menimpa Mika hanya disedari selepas anaknya pulang dari sekolah dan selesai mandi.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan anak Ako yang didakwa menjadi mangsa buli di sekolahnya di Wangsa Maju, di sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




