Kes buli di MRSM: Mara tunggu hasil siasatan penuh polis

Kes buli di MRSM: Mara tunggu hasil siasatan penuh polis

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) masih menunggu laporan penuh daripada pihak polis berhubung siasatan terhadap kes buli melibatkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan disiplin, moral dan akhlak pelajar kerana falsafah pendidikan Mara adalah untuk melahirkan pelajar yang holistik serta berakhlak.

“Pelajar bukan sahaja perlu mempunyai kemahiran, kepakaran dan kompetensi dalam bidang yang diceburi malah mesti memiliki akhlak, jati diri dan nilai yang tinggi kerana mereka merupakan generasi pemimpin yang bakal dilahirkan pada masa hadapan.

“Sebab itu kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang bentuk buli sama ada buli fizikal, moral mahupun mental,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Anugerah Pendidik Mara 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes enam pelajar senior sebuah sekolah berasrama di Muar dipercayai membuli dan memukul seorang pelajar tingkatan dua kerana menghisap vape.

Dalam kejadian itu, kesemua suspek lelaki berusia 17 tahun ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Muar dan Alor Gajah, Melaka, awal pagi kelmarin.

Susulan kejadian itu, semalam Bahagian Pendidikan Menengah Mara dan pihak pentadbiran MRSM diarah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab dengan kadar segera dalam tempoh 24 jam.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, mesyuarat itu bertujuan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pelajar yang didapati terlibat dalam kes buli di sebuah MRSM di Johor.

“Jika terbukti bersalah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM. Berdasarkan maklumat yang saya terima, perbuatan ini disyaki melibatkan enam orang pelajar tingkatan lima,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top