am@hmetro.com.my
Ipoh: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah sudah melaksanakan prosedur sewajarnya termasuk berbincang bersama keluarga mangsa buli serta isu murid dipukul guru masing-masing berlaku di Chemor, di sini serta Pengkalan Hulu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, siasatan kedua-dua kes berkenaan diserahkan kepada polis memandangkan mangsa tampil membuat laporan polis.
Beliau berkata, dalam kedua-dua kes, proses pentadbiran sudah diselesaikan PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.
“Ia membabitkan majlis permuafakatan antara PPD, pihak sekolah dan keluarga mangsa bagi mencari jalan penyelesaian terbaik secara situasi menang-menang.
“Justeru prosedur pelaporan 1-3-7 yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut dipatuhi bagi memastikan keharmonian sekolah terus terpelihara.
“Jadi kita biar pihak polis melakukan siasatan. Cuma ada perkara tertentu yang kita tidak tahu puncanya sehingga laporan polis dibuat.
“Sebagai contoh kes di Chemor apabila laporan polis dibuat pada bulan Oktober walaupun kes itu berlaku pada Julai lalu,” katanya selepas mewakili Menteri Besar Perak menyempurnakan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak di sini hari ini.
Khairudin berkata, justeru ulasan lanjut berkenaan kedua-dua kes tidak boleh dibuat memandangkan siasatan polis masih berjalan.
Media pada 5 Oktober lalu melaporkan seorang ibu tunggal, Noor Azwani Ahamad, 43, mendakwa dua anak lelakinya masing-masing menjadi mangsa buli dan kekerasan membabitkan pelajar serta guru di sebuah sekolah di Chemor di sini.
Dalam kejadian berasingan di Pengkalan Hulu 23 September lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mendakwa dihentak di kepala oleh guru.
© New Straits Times Press (M) Bhd




