rnoraina@hmetro.com.my
Subang: Polis merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki yang menjadi mangsa buli dan pukul pelajar lain di sebuah sekolah di USJ 4 di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mereka yang diambil keterangan adalah mangsa yang juga pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan.
“Selain itu, turut diambil keterangan adalah pelajar yang disyaki terbabit kes buli dan pukul serta guru sekolah.
“Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Harian Metro terdahulu melaporkan, pelajar tingkatan dua trauma selepas menjadi mangsa buli dan dipukul pelajar lain, sejak bulan lalu.
Bapanya berusia 43 tahun hanya mengetahui kejadian itu pada 2 Mei lalu dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa mendakwa ditumbuk di muka oleh seorang pelajar pada 29 April lalu, manakala pada 2 Mei, dia sekali lagi menjadi mangsa apabila didatangi tiga pelajar sebelum berlaku pergelutan antara mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




