mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pelatih tahun tiga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa memijak juniornya hingga retak tulang sudah dirakam percakapannya petang tadi.
Suspek utama itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, petang tadi susulan laporan dibuat bapa mangsa yang juga pelatih tahun satu, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek lelaki itu dipanggil untuk dirakam percakapan untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
“Polis sudah merekodkan keterangannya, namun tiada tangkapan dijalankan.
“Pada masa ini tumpuan polis adalah menyiasat kes ini secara lebih terperinci selepas laporan dibuat pada Jumaat lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, selain itu, polis turut merakam keterangan lima lagi saksi, menjadikan seramai 15 orang sudah dirakam percakapan setakat ini.
Terdahulu, mangsa berusia 19 tahun memaklumkan kepada keluarganya yang dia sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tengku Mizan selepas mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang, disyaki akibat dipijak senior.
Sebaik mengetahui kejadian menimpa anaknya, keluarga tampil membuat laporan polis, malah kejadian pada 21 Okt lalu itu berlaku sehari sebelum kadet ALK universiti sama melecur di badan akibat ditekap seterika oleh penuntut senior.
© New Straits Times Press (M) Bhd