am@hmetro.com.my
Muar: Seorang penganggur yang didakwa membunuh ibu, bapa dan anak saudaranya di Pagoh, Ogos tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini dan mohon untuk dibicarakan.
Tertuduh, Azman Mohamed Nor, 48, yang berkerusi roda akibat penyakit saraf dialaminya, berhadapan tiga pertuduhan, membuat pengakuan itu ketika prosiding sebutan pertama kali di hadapan Hakim Suria Kumar DJ Paul.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia yang masih bujang didakwa membunuh ibu bapanya, Ara Abd Hamid, 76, dan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, serta anak anak saudara Noradriana Nor Hasyim, 11.
Perbuatan itu dilakukan antara jam 1 hingga 3 pagi, sebuah rumah di Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, Pagoh, 9 Ogos tahun lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie manakala Azman tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan tiga izin kepada mahkamah bagi setiap mangsa dalam kes pembunuhan ini.
Pada prosiding itu juga, Nur Aqiilah memberitahu mahkamah agar menetap suatu tarikh baru bagi pengurusan kes memandangkan beberapa dokumen termasuk gambar tempat kejadian yang belum lengkap sepenuhnya.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam tertuduh.
Azman yang kini sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM5,000 atas pertuduhan mencederakan seorang lagi anak saudaranya.
Dalam tragedi menyayat hati, Ara dan Mohamed Nor ditemui rentung dalam rumah pusaka manakala Noradriana meninggal dunia akibat kecederaan parah di muka selepas dipukul dengan objek keras.
Kematian tiga beranak itu pada yang awalnya disiasat sebagai mati mengejut kemudiannya menjadi kes bunuh susulan penemuan beberapa kesan kecederaan terhadap mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd