Kes bunuh di Kuantan: 4 sekeluarga disemadi satu liang, jenazah suspek dikebumi berasingan

Kes bunuh di Kuantan: 4 sekeluarga disemadi satu liang, jenazah suspek dikebumi berasingan

am@hmetro.com.my

Kuantan: Jenazah lima sekeluarga mati di sebuah rumah di Taman Cerating Damai, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating, di sini, hari ini.

Empat jenazah disemadikan dalam satu liang manakala jasad suspek pembunuhan terbabit dalam pembunuhan itu dikebumikan berasingan di tanah perkuburan sama kira-kira 7:20 malam.

Sebelum itu empat jenazah dibawa ke Masjid Cerating untuk dimandi dan dikafankan manakala jenazah suspek dibawa ke Masjid Sungai Ular, di sini, untuk proses sama.

Selepas disolatkan semua jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk pengkebumian dan dihadiri lebih 100 ahli keluarga, jiran dan kenalan mangsa.

Empat jenazah Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dua cucunya Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Nur Saffiyah Humairah,5, serta ibu dua kanak-kanak terbabit Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, dikebumikan dalam satu liang.

Terdahulu semua jenazah dituntut waris selepas selesai proses bedah siasat dilakukan di Jabatan Perubatan forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, pada 2.50 petang.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi semalam, jasad lima sekeluarga terbabit ditemui di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, Nurul Asshiykin dipercayai dibunuh suaminya sebelum suspek menikam ibu dan dua anak perempuannya .

Menurutnya, selepas itu suspek bertindak membunuh diri dengan di bahagian dada.

Mayat suami isteri dan dua anak pasangan terbabit ditemui dalam bilik tidur utama dan jasad ibu suspek ditemui di dapur.

Siasatan menyeluruh untuk mengetahui motif kejadian sedang dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top